AROMA masakan yang terbit sudah membuatkan perut berasa lapar. Apatah lagi apabila melihat hidangan yang masih panas di depan mata. Memang tidak sabar hendak menikmati hidangan disediakan.
Itu antara daya penarik yang diketengahkan Sheesh Mahal, restoran yang menyajikan makanan Pakistan di SS15, Subang Jaya, yang sememangnya menjadi kegemaran rakyat negara ini.
Mendengar saja Sheesh Mahal, pasti ramai tertanya keunikan nama itu. Sheesh Mahal antara contoh warisan struktur binaan Mogul yang hebat.
Mogul bukan saja dikenali dengan binaan bangunan yang berseni, juga cukup masyhur dengan masakan yang enak.
Keenakan masakan Mogul tersebar hingga ke negara ini apabila ramai penghijrah dari Pakistan dan India berniaga dan menjadi penduduk tetap Malaysia.
Di Kuala Lumpur saja ada pelbagai restoran yang menghidangkan masakan tradisional yang menjadi kebanggaan penduduk di sana.
Pakistan juga antara negara yang terkenal dengan keindahan seni bangunannya yang tersendiri, termasuklah Kubu Diraja Lahore yang dikenali sebagai ´Shahi Qila´.
Selain itu, ada istana kecil yang tidak kurang indahnya dikenali sebagai ´Sheesh Mahal´ yang bahagian dalamnya dihiasi cermin menarik.
Pemilik Sheesh Mahal, Muhammad Omer Shafi, berkata ada lebih 100 menu di restorannya, termasuk menu kanak-kanak, manisan, pelbagai jenis roti, nasi, daging dan lain-lain.
"Kami akan menukar hidangan setiap hari supaya pelanggan tidak berasa bosan dengan masakan sama. Meskipun menerima kunjungan pelbagai bangsa seperti India dan Cina, namun 90 peratus adalah Melayu.
"Alhamdulillah, 10 tahun bertapa dalam perniagaan ini, kami tidak menerima rungutan atau rasa tidak puas hati terhadap masakan, malah kebanyakan pelanggan menjadi pengunjung tetap," katanya sewaktu ditemui di restorannya baru-baru ini.
Selain menikmati pelbagai jenis hidangan nasi seperti Murgh Beriani, Lahori Beriani, Sindh Beriani, Plain Rice, Seafood Beriani, pelanggan boleh mencuba aneka roti naan lazat.
Antara yang mendapat permintaan tinggi adalah Garlic Naan, Paneer Naan, Plain Naan dan Butter Naan. Di samping itu, pastikan anda mencuba masakan istimewa Palak Paneer, Chicken Tikka Masala, Lamb Roghan Josh dan Mix Naan Breads yang membuka selera, apatah lagi pada Ramadan ini.
Selain itu, cubalah kebab Murgh Malai diperbuat daripada kiub isi ayam yang diperap dalam keju, krim dan herba wangi dan dipanggang di dalam tandoor atau ketuhar khusus untuk memasak roti naan. Selain itu, ada beberapa kebab lain seperti kebab Boti dan Sheekh.
Menurut Omer, semua hidangan ini disediakan chef berpengalaman dari Pakistan supaya pelanggan merasai keaslian rasa menggunakan rempah ratus terpilih yang didatangkan khas dari negara itu.
"Masakan istimewa Lahori Murgh Karachi, iaitu ayam yang dimasak dengan halia, cili hijau, dan tomato digoreng di dalam kuali. Ia penuh dengan cita rasa rempah ratus istimewa yang enak.
"Masakan Pakistan memang tidak dapat lari daripada rempah tradisionalnya dan masyarakat di sana gemar menggunakan minyak sapi, terutama apabila memasak nasi beriani," katanya.
Di Sheesh Mahal, anda juga boleh menikmati masakan unik, Shahi Raan, iaitu kambing yang diperap enam jam dalam rempah ratus eksotik dan dipanggang tiga jam di dalam tandoor. Justeru, pengunjung perlu menempah sehari sebelumnya.
HARGA MAKANAN
Beef Masala - RM16.90
Murgh Tikka - RM16.90
Paneer Pakora - RM8.90
Sheesh Mahal Sizzling Grill - RM49.90
Palak Paneer - RM12.50
ALAMAT:
33, Jalan SS15/5A, Subang Jaya,Selangor Darul Ehsan
TELEFON: 03-56213671
WAKTU PERNIAGAAN: Sheesh Mahal dibuka setiap hari dari 11 pagi hingga 3 petang untuk makan tengah hari dan 6 petang hingga 10.30 malam, manakala pada Jumaat dan Sabtu, dibuka hingga 11 malam
|