MAKANAN Barat seperti chicken chop dan lamb chop (biri-biri) serta pelbagai hidangan pasta daripada fettucini mahupun lingguini menjadi antara sajian istimewa di Selamba Cafe.
Pengurusnya, Kamal Rezuan Anwar mengakui pelanggan juga memilih hidangan salad daripada ayam dan tuna atau snek seperti kentang goreng, nachos atau crackers, sotong mahupun tempura kerana dapat dinikmati dengan harga berpatutan.
"Bagaimanapun, masakan tempatan seperti hidangan nasi goreng tidak kami lupakan. Sesuai dengan nama restoran kami, Nasi Goreng Selamba Istimewa menjadi pilihan utama. Suasana restoran ini santai dan sesuai dengan cita rasa pengunjung masa kini.
"Selain itu, kami mewujudkan gaya gerai jalanan di bahagian depan kafe dan ternyata ia disenangi pengunjung," katanya yang bergabung tenaga bersama rakannya, Muhamad Sabri Saliman membuka restoran itu awal Mac lalu.
Latar Kamal sebagai pelakon iklan dan dramatis ternyata beri kelebihan pada restoran itu untuk dikunjungi kru produksi, pelakon dan selebriti.
Menurut Kamal, dia tidak menjangka sambutan pelanggan sangat memberangsangkan. Restoran terletak di Seksyen 5, Wangsa Delima, Wangsa Maju, itu mampu memuatkan hampir 100 pengunjung dalam satu-satu masa. Namun, kata Kamal, konsep gerai sememangnya ditunggu pelanggan.
Sejajar dengan perkembangan era siber sekarang, Kamal memanfaatkan penggunaan teknologi menerusi Facebook bagi mendapatkan maklum balas daripada pelanggan dan ternyata usahanya tidak sia-sia.
"Kebanyakan yang pernah merasai makanan di tempat kami memuji masakan disajikan dalam bentuk ala moden. Sekurang-kurangnya, mereka yang gemar kedua-dua masakan itu, ada alternatif untuk menikmati jenis makanan mana disukai.
"Bahkan, kalau tidak menggemari masakan tempatan mereka berpeluang memilih makanan Barat bagi memenuhi selera.
"Sate juga tidak kurang hebatnya, begitu juga nasi lemak sering ditunggu-tunggu kehadirannya kerana kebanyakan gerai beroperasi sebelah petang. Ia menjadi tempat untuk rakan bertemu dan berbincang di kafe ini, selain menjadi kunjungan keluarga," katanya.
Restoran itu dibuka setiap Isnin hingga Jumaat seawal jam 11 pagi dan ditutup operasi pada jam 1 pagi, manakala pada Sabtu dan Ahad dari jam 3 petang dan berakhir jam 3 pagi.
Kamal mempelawa mereka yang berminat untuk tempahan katering boleh menghubungi restoran itu untuk 100 pek ke atas. Ditanya mengenai menu istimewa pula, dia mengakui masakan gulai dan kari turut diminati ramai.
Manakala mereka yang tidak menggemari makanan terlalu berat yang berasaskan nasi atau sebarangan, boleh saja menikmati pencuci mulut menyelerakan.
Alamat: Selamba Cafe, 12A, Jalan Wangsa Delima 2A, Seksyen 5, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur.
www.facebook.com/pages /Selamba-Cafe
|