JARANG ada yang menolak jika menu ditawarkan ialah ikan bakar. Ia digemari semua bangsa dan golongan kerana aroma membangkit selera, selain kemanisan isi ikan segar membuatkan seseorang itu ingin menikmatinya berulang kali. Oleh itu, tidak hairanlah ada yang sanggup memandu beratus kilometer ke sesuatu tempat semata-mata untuk menikmati keenakan ikan bakar.
Bagaimanapun, anda tidak perlu lagi melakukan perjalanan jauh kerana restoran ikan bakar berkapasiti besar kini dibuka di tengah ibu kota. Restoran Sekinchan Ikan Bakar di Setiawangsa dibuka sejak enam bulan lalu menawarkan pelbagai jenis ikan segar.
Sekinchan dinamakan sebagai restoran bagi memperkenalkan ia sebagai perkampungan nelayan di Selangor. Di daerah berkenaan, banyak restoran ikan bakar bukan Bumiputera didirikan tetapi di sini, ia boleh dinikmati pelbagai bangsa.
Anda boleh memilih sendiri ikan laut atau sungai seperti kembung, cencaru, ikan ayam, pari, kerapu, siakap, terubuk, sembilang, jenahak, keli, bawal, patin, tamban selain udang, sotong, kerang, lala dan ketam.
Pengurus, Lila Husein, berkata walaupun moden di segi konsep keseluruhan restoran, pihaknya cuba mengekalkan unsur tradisional melalui nasi lemak kampung iaitu berbungkus daun pisang untuk dimakan dengan ikan bakar. Selain itu, terdapat juga pilihan lauk paru bercili, rendang kerang atau ayam kampung goreng berempah untuk dimakan dengan nasi lemak.
"Ikan dibakar atas daun pisang dan siap dibakar, diletak sos ramuan tersendiri daripada serai dan lengkuas. Rasanya manis, masam dan sedikit pedas. Jika mahu lebih pedas, ikan boleh dicicah sambal belacan, air asam jawa atau kicap dengan bawang," katanya.
Pelbagai pilihan ulam turut disediakan iaitu kacang botol, timun, pegaga, kacang panjang dan ulam raja.
Menurutnya, kira-kira 60 kilogram ikan bakar dijual setiap hari dengan pari dan ikan ayam antara digemari pelanggan. Mampu menampung 200 pelanggan dalam satu masa, restoran itu yang mempunyai ruang makan berhawa dingin dan terbuka turut menerima tempahan majlis dan seminar.
Jika datang berkumpulan, pelanggan boleh memesan jus jumbo iaitu gelas besar yang boleh diminum empat orang. Pilihan jus seperti oren, tembikai, jus limau, lobak merah atau tembikai susu.
Untuk bulan puasa, bufet Ramadan menyajikan masakan kampung ditawarkan. Pelanggan digalakkan membeli kupon ikan bakar bagi membuat tempahan awal hidangan itu.
"Kini, kami dalam proses berbincang dengan agensi pelancongan dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia untuk menjadikan Restoran Sekinchan Ikan Bakar sebagai destinasi persinggahan pelancong menjamu selera sama ada makan tengah hari atau malam.
"Proses penyediaan ikan bakar antara 15 hingga 20 minit dan kami cuba mempercepatkan kepada 10 minit," katanya.
|