JIKA teringin menikmati hidangan pantai timur untuk berbuka puasa, anda
tidak perlu ke Pahang, Terengganu atau Kelantan, memadai singgah di
Kedai Kopi Kawan atau Kawan Kopitiam.
Kawan Kopitiam di Bandar Baru Bangi, Selangor itu milik pengacara dan penerbit, Ezzah Aziz Fawzy dan suami, Ahmad Rezal Mohd
Esa bersama rakan kongsi Hasbullah Abdullah dan Johar Johari.
Lebih
istimewa, Kawan Kopitiam membawa tukang masak dari Kelantan, Hasanah
Mahmod yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun menyediakan masakan
untuk golongan istana dan orang kenamaan.
Hidangan pastinya, nasi dagang, nasi lemak dan nasi kerabu yang menepati cita rasa asli masyarakat pantai timur.
Menurut
Hasbullah, memang sukar mendapat hidangan masakan pantai timur yang
asli di Lembah Klang kerana kebanyakan diubah suai.
Beliau
berkata, Kawan Kopitiam menyediakan 50 jenis masakan dan minuman,
tetapi menu berubah setiap hari bagi memberi kelainan kepada pelanggan.
"Daripada
jumlah menu itu, ada 20 masakan ala Cina, 10 masakan tempatan dan ala
Barat serta lebih 10 jenis masakan ringan seperti roti, rojak, popia
dan aneka pencuci mulut.
"Anda boleh mencuba sendiri hidangan yang kami sediakan dengan harga berpatutan," katanya.
Apa
yang menarik, anda boleh menikmati hidangan seolah juadah di gerai Cina
seperti nasi goreng Sze Chuan dan Yang Chow serta pelbagai jenis
masakan Johor, antaranya kacang pol, laksa, mi bandung, kari dan rebus.
Selain itu, katanya, pelbagai aneka minuman dengan pelbagai nama menarik turut disediakan, antaranya sirap dangdut, ais kisar Getaran Jiwa, air Milo ´dinasours´ dan kopi dangdut.
"Kami sediakan hidangan kopi Muar 434 bersama biskut ´soda´ tradisional," katanya.
Dekorasi Kawan Kopitiam yang dibuka Ogos tahun lalu berkonsepkan kedai kopi tradisional dengan menggabungkan konsep kedai kopi Cina dan Melayu.
"Keselesaan tetap keutamaan kerana itu yang diinginkan pengunjung," katanya.
Kawan Kopitiam turut menyediakan tempahan untuk majlis keraian seperti hari jadi, peribadi dan tempahan pejabat.
Untuk tempahan hubungi 014-3313771 (Johar) dan 019-2190971 (Ahmad Rizal).
|