![]() |
||
| Tempat lepas idam | ||
|
||
| ROTI bakar, kopi panas atau kopi kampung dan telur ayam separuh masak memang sinonim dengan kopitiam. Malah, menu yang sesuai dinikmati sama ada pagi, petang atau malam itu boleh dikatakan hidangan wajib pelanggan. Namun, berkunjung ke Kopitiam 333 di USJ 11, Subang Jaya, Selangor, menunya bukan sekadar itu saja. Senarai yang ada pasti membuatkan pelanggan pening kepala memilih hidangan dihajati. Daripada menu ringan hingga sajian berat, restoran dimiliki sepenuhnya Bumiputera itu menawarkan 50 jenis makanan dan minuman. Istimewanya, sepanjang 24 jam operasi, pelanggan boleh menemui hidangan yang mungkin sukar dicari pada tengah malam atau awal pagi seperti ubi kayu goreng, pengat durian dan pisang, rojak tempe, nasi beriani gam, roti jala, pisang goreng atau keropok lekor. Jika teringin atau mengidam, di sinilah tempatnya. Bukan itu saja, ada pelbagai menu menyelerakan menanti kaki makan seperti nasi dagang, nasi kerabu ayam percik, nasi rendang minang, nasi ´public phone´, tomyam kung, mi sua, laksa, mi bandung Muar, yong tau fu dan roti jala. Tidak ketinggalan, ada sup bebola ikan, spaghetti, lamb chop, stik lada hitam, bubur ayam, sagu gula Melaka, mi goreng mamak, yee mi dan mi rebus. Bagi yang mahu menikmati sajian ringan, ada disediakan keropok lekor, cendawan goreng, rojak buah, tauhu dan tempe, sandwich, kentang goreng dan kuih pau. Pemilik restoran, Mohd Adib Sidek, berkata kepelbagaian menu yang ada bertujuan memberi pilihan kepada pengunjung memilih makanan diminati, terutama yang sukar dicari. Begitupun, katanya, ada juga makanan istimewa disediakan seperti nasi rendang minang, nasi kerabu ayam percik dan nasi beriani gam yang dihasilkan melalui resipi sendiri. "Nasi beriani gam resipinya dari Batu Pahat, Johor manakala nasi rendang minang, nasi kerabu ayam percik dan nasi `public phone´ adalah idea sendiri. "Istimewanya nasi rendang minang ialah rendang dagingnya, manakala nasi kerabu ada ayam percik dan kerabu sayur, sementara nasi `public phone´ sekadar nama mengandungi daging masak merah, paprik ayam, telur mata kerbau, sambal belacan, timun dan nasi putih," katanya. Mengenai nama Kopitiam 333, Mohd Adib berkata, ia sebenarnya simbolik jenis kopi digunakan iaitu Kopi Cap 333 yang dibawa dari Batu Pahat, Johor. Selain itu, ketika berkunjung ke sini, pelanggan pasti tertarik melihat kakitangan restoran berpakaian ala koboi lengkap dengan jaket dan topi. Di restoran itu, ada dua pilihan tempat duduk, sama ada terbuka (di depan restoran) atau di dalam restoran yang berhawa dingin. Walau duduk di mana sekalipun, situasi sekeliling yang dilimpahi lampu warna-warni, khususnya pada waktu malam, mewujudkan suasana santai ketika menjamu selera. Bagi menarik kehadiran lebih ramai pelanggan ke restoran yang baru beroperasi 12 Januari lalu, Mohd Adib berkata, pihaknya mengadakan promosi khas untuk makanan dan minuman antara enam bulan ke setahun mulai Mac ini. "Sepanjang tempoh promosi, kami menjual kopi pada harga RM1 saja dan teh tarik gelas besar hanya RM1.40. Manakala untuk makanan pula, pelanggan boleh nikmati diskaun 20 peratus daripada harga keseluruhan. Katakan jika pelanggan menikmati sarapan harganya RM5, kita kurangkan harga kepada RM3.50 saja," katanya. MAKANAN - HARGA Nasi kerabu ayam percik - RM7 Nasi rendang minang - RM7 Mi sua - RM5.50 Rojak tempe - RM4.50 Ubi kayu goreng - RM4.50 Pengat pisang - RM3.50 Lamb chop - RM16.50 MINUMAM - HARGA Kopi ´o´ - RM1.80 Asam boi - RM2.80 Tongkat Ali - RM3 Cincau bandung - RM2.50 Cappucino - RM6.50 Jus mangga - RM4 Susu strawberi - RM2.80 [Metro Ahad] |
||
| ||
| Get this and more from eats.emedia.com.my |